Semalam, saya telah menempah sebiji kek untuk dibawa ke majls kenduri marhaban anak saudara saya yg pertama. Kek yg diusahakan oleh pengusaha kedai ini, memang sedap. Dia satu-satunya kedai yg beroperasi di Salak Tinggi yang saya yakin status "HALAL"nya. Mulanya dia seorang jurutera... tetapi atas minatnya, dia telah mengusahakan sebuah kedai kek. Kedai ini hak milik sepenuhnya mereka suami isteri.
Walaupun sering ke kedainya, semalam saya terbaca satu artikel yang telah di"frame"kan di ruang hadapan kedainya... tentang anak bongsunya yang seluruh organ tubuhnya berada dalam keadaan terbalik... macam tak percaya bukan??? Sebenarnya, sebelum ini saya sudah mengetahuinya, tetapi saya sangkakan hanya jantungnya sahaja yang berada di sebelah kiri anggota. Rupa-rupanya hampir semua anggota tubuhnya berada dalam keadaan yang berlawanan. Saya terpaku seketika... Allahu Akbar! Allah Maha Besar.. tiada yang mustahil di dunia ini...
Di sini saya lampirkan artikel tersebut untuk renungan anda semua...
------------------------------------------------------------------------------------
Congenitally Corrected Transposition of Great Arteries atau Organ Terbalik
Organ dalaman Norsabrina terbalik
Oleh: RAHANA MD
HAMPIR tidak ada bezanya Norsabrina Izzati Zulkifli, 2, dengan kanak-kanak sebaya yang lain.
Dia lincah bermain, melompat-lompat dan tersenyum manis bila diajak berbual-bual.
Tatkala jurugambar memintanya beraksi, dengan gaya bersahaja Sabrina memberi kerjasama yang memuaskan ketika wajahnya terakam di lensa kamera.
Norsabrina ditemui di rumahnya di Taman Seroja, Bandar Baru Sepang, Selangor baru-baru ini dengan ditemani ibu, ayah dan abangnya.
Walaupun kelihatan sihat, hakikatnya di sebalik tubuh kerdil itu tersembunyi dugaan Tuhan kepada ahli keluarga.
Ketika baru beberapa hari dilahirkan, ibunya, Che Tinor Kamaruddin, 38, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Desa Cempaka, Sepang, Selangor, hampir meraung bila diberitahu bayi yang masih merah itu tidak ada harapan untuk hidup.
Sampai ke hari ini, kata-kata doktor itu masih terus terngiang-ngiang dan bermain dalam fikirannya. Ada kala air mata Che Tinor merembes tanpa boleh disekat-sekat.
Perasaan sedih dan pilu yang bercampur-baur itu ditenangkan suaminya, Zulkifli Md. Nor, 42, seorang pengusaha kedai kek yang tidak henti-henti memanjatkan doa agar si anak sentiasa sihat dan sejahtera seperti dua orang anaknya yang lain.
Melihat daripada luaran atau keadaan fizikalnya, Sabrina memang kanak-kanak yang sihat tetapi sebenarnya dia diduga Tuhan dengan pemberian beberapa organ yang terbalik kedudukannya di dalam tubuh.
Menurut ibunya, daripada penjelasan doktor yang merawatnya, sejak dilahirkan Sabrina mengalami masalah yang disebut Congenitally Corrected Transposition of Great Arteries atau dalam bahasa mudahnya kedudukan organ yang terbalik.
“Semasa baru dilahirkan, pihak doktor mengatakan kes yang menimpa Sabrina agak kompleks kerana kebanyakan salur-salur darah yang menghubungkan antara jantung dengan organ lain disambungkan dalam kedudukan yang bersimpang siur.
“Jantungnya berlubang dan dua daripada empat ‘tingkap’ yang ada pada jantungnya beralih kedudukan.
“Misalnya salur darah yang sepatutnya dari jantung ke paru-paru bertukar tempat dengan salur darah yang mengepam ke tubuh. Situasi ini menyebabkan Sabrina akan mengalami kekurangan oksigen dan dia akan berasa penat dan sukar bernafas,’’ katanya.
Bagaimanapun, menurut ayahnya, atas kehendak Tuhan sehingga kini Sabrina belum pernah diserang sesak nafas atau tubuh kebiru-biruan seperti mana yang lazim dialami oleh kanak-kanak sepertinya.
“Syukur... saya anggap ini satu anugerah Tuhan untuk menguji hambanya. Sabrina masih sihat dan menjalani kehidupan seperti biasa walaupun setiap kali mencelikkan mata, saya diburu kebimbangan dan hati digayut seribu satu persoalan berkaitan keadaannya,’’ ujarnya sambil mengusap rambut anak tersayang.
Menurut Che Tinor lagi, Sabrina dilahirkan pada 24 Ogos 2004. Dia mempunyai kakak, Faridatul Farhana, 14, dan abangnya Hafizul Fahmi, 9.
Rawatan Sabrina kini dirujuk kepada pakar kardiologi pediatrik, Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
“Sungguhpun kelihatan sihat, tetapi setiap tiga bulan sekali Sabrina akan menjalani rawatan susulan di IJN dan enam bulan sekali dibawa bertemu dengan doktor yang menyambut kelahirannya di Klinik Pakar An-Nur, Kajang, Selangor.
“Sabrina memerlukan sokongan ubat-ubatan dan vitamin terutama asid folik bagi membantunya membentuk beberapa organ tambahan.
“Misalnya, kekurangan asid folik akan menyebabkan kukunya cepat rapuh dan bila dicabut, ia boleh tertanggal sendiri.
“Menurut doktor, Sabrina kekurangan protein dalam tubuhnya dan memerlukan makanan tambahan bagi mengekalkan kesihatan,’’ ujarnya.
Che Tinor menambah, walaupun Sabrina nampak sihat dan cuma sesekali kelihatan agak penat namun hatinya tetap bimbang.
“Doktor menjelaskan, selain jantungnya bermasalah, kedudukan hatinya juga berubah. Hatinya berada di sebelah kiri, begitu juga dengan apendiksnya, sedangkan hati dan apendiks manusia normal berada di sebelah kanan.
“Saya pernah bertanya, apakah jantungnya boleh dirawat dan kedudukan organ boleh diubah melalui pembedahan.
“Pihak doktor menjelaskan, ia memerlukan pembedahan yang besar dan Malaysia masih kekurangan kemudahan untuk melakukannya. Mereka nasihatkan kami membesarkan Sabrina seperti anak-anak yang lain dan tidak menganggap kepelikan yang dialaminya sebagai satu kekurangan.
“Pihak doktor bimbang jika keganjilan kedudukan organ dan saluran darah didalam tubuhnya ‘diusik’ ia akan mengakibatkan kesan kepada organ-organ lain dan menjejaskan kesihatannya.
“Kami sekeluarga pasrah dengan keadaan Sabrina dan akan sentiasa memberi perhatian dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Saya percaya segala-galanya terkandung hikmah,’’ ujar Che Tinor dengan mata berkaca.
5 comments:
Salam...
bersyukurlah atas kurniaan Allah kepada kita semasa di dunia ini...
Saya semasa berumur 18 tahun baru mengetahui jantung saya terbalik dan terkini dalam bulan Februari 2010 saya mengalami masalah dalam perut yang tidak dapat dikesan puncanya..setelah discan didapati kedudukan organ major dalaman tubuh saya terbalik... Allah Maha Besar Allah Maha Mengetahui segala sesuatu ciptaanNya di muka bumi ini...
syukur ALLAH memanjangkan umur.
wah... kawan sekelas ku begini rupanya.... syukur....
wah... kawan sekelas ku begini rupanya.... syukur....
astaghfirullah hal azim.. Baru aku mengetahui akan hal ini. Seperti tidak ku sangka perkara sebegini rumit boleh berlaku terutamanya kepada kawan sekelas ku mahupun 'rival'ku dalam akedamik. Daku hanya boleh berdoa agar kesihatan Nur Sabrina Izzati sentiasa sihat dan dapat menempuh cabaran ini dengan sebaik-baiknya.
Post a Comment