Sunday, July 22, 2007

Wanita Hisap Rokok Berisiko Putus Haid Awal


NEW YORK: Wanita yang merokok mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk putus haid sebelum berusia 45 tahun, sekali gus meningkatkan risiko mereka untuk mengalami masalah kereputan tulang (osteoporosis) dan penyakit jantung, lapor penyelidik Norway.


Kajian terhadap 2,000 wanita berusia 59 dan 60 tahun mendapati mereka yang merokok mempunyai 59 peratus lebih tinggi kemungkinan putus haid awal, kata Dr Thea F Mikkelsen dari Universiti Oslo yang menjalankan kajian itu bersama rakannya.

Beliau berkata risiko putus haid awal meningkat sekali ganda di kalangan perokok wanita tegar.


“Wanita yang berhenti merokok sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum putus haid mempunyai kemungkinan lebih rendah putus haid sebelum usia 45 tahun.


“Ada bukti menunjukkan mereka yang merokok pada usia lebih lewat akan putus haid awal, manakala perokok yang berhenti sebelum pertengahan usia, mungkin tidak terjejas,” kata Mikkelson dalam catatannya yang disiarkan jurnal kesihatan umum.


Beliau berkata wanita yang berhenti merokok 10 tahun sebelum putus haid mempunyai 87 peratus lebih rendah kemungkinan putus haid awal, berbanding rakan sebaya yang terus merokok.


Penyelidik mendapati hampir 10 peratus wanita mengalami putus haid sebelum 45 tahun dengan 25 peratus adalah perokok, 28.7 peratus bekas perokok dan 35 peratus di kalangan mereka yang kerap terdedah kepada perokok (perokok pasif).

No comments: