Wednesday, March 12, 2008

SPM 2007

Cerita SPM Tahun ini. Rekod Amalina dipecahkan


Pelajar SMKA Yan, Kedah calon tunggal ambil 21 subjek peroleh 20 1A, satu 2A

PUTRAJAYA: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah, Azali Azlan, mendapat 20 1A dan satu 2A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang diumumkan semalam, mengatasi rekod 17 1A yang dipegang Nur Amalina Che Bakri dari SMK Ulu Tiram, Johor Bahru sejak 2004.


Azali meraih 20 1A dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Pendidikan Islam, Fizik, Kimia, Biologi, Geografi, Matematik Tambahan, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Bahasa Arab Tinggi, Kesusasteraan Melayu, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Tasawwur Islam serta Pendidikan Seni Visual.


Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 itu juga mendapat 2A dalam mata pelajaran English for Science and Technology (EST).


Azali dari Tikam Batu, Sungai Petani, adalah satu-satunya calon yang mengambil 21 subjek dalam peperiksaan SPM 2007.


Anak pasangan guru sekolah menengah, Azlan Othman, 51, dan Rozita Sanapi, 46, itu berkata pengambilan 21 subjek ini adalah pilihannya sendiri dan disokong ibu bapa serta guru.
------------------------------------------------------------------------------------------

Tujuan saya bukan untuk mengatasi mana-mana rekod tetapi bagi kepuasan saya belajar. Jika dibuat untuk memecahkan rekod, bagi saya, ia menjadi tidak bermakna. Saya lakukan ini untuk diri sendiri dan ibu bapa dan sebagai hadiah kepada guru.

“Memang guru ada menasihati saya supaya menimbangkannya baik-baik kerana bimbang saya tidak boleh `cope’, tetapi saya percaya pada Tuhan dan diri sendiri,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.


Mengenai resipi kejayaannya, Azali berkata, beliau berpegang kepada pendirian sabar dalam menghadapi segala dugaan kerana yakin setiap kesusahan akan ada kesenangan.

Azali mengakui keyakinannya pernah tergugat dalam menghadapi cabaran 21 mata pelajaran, tetapi beliau membina kembali keyakinan itu menerusi perbincangan dengan kaunselor dan ahli keluarga.

Katanya, beliau tidak pernah mengikuti tuisyen khusus, sebaliknya hanya menyertai tuisyen di sekolah untuk mata pelajaran Kimia dan Prinsip Perakaunan.


“Saya belajar sendiri sembilan subjek yang tidak diajar di kelas. Saya tiada sebarang jadual waktu, sebaliknya hanya belajar apabila ada semangat dan keinginan kerana bagi saya, jadual waktu memberi tekanan,” katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Salaam... tak terkata... tapi alhamdulillah, ada lah jugak Tokoh Nilam Kebangsaan 2007, masa tahun 2005 ke 2004, ada pun untuk sekolah rendah je... but, a case study should be done why these over-achievers manage to score beyond expectation!