Friday, December 28, 2007

Diambil dari Utusan Malaysia 28 Dis 2007.

Sekadar berkongsi Ilmu

Risiko kanser dari tenusu


PEMBERIAN susu lembu dan hasil tenusu yang terlalu banyak didapati meningkatkan risiko kanser usus kepada kanak-kanak.

Kumpulan penyelidik dari Universiti Queensland, Australia mendapati kanak-kanak yang minum dua cawan susu setiap hari menghadapai sehingga tiga kali ganda risiko menghidap kanser usus apabila dewasa kelak.


Kajian dari 1948 hingga 2005 itu mengambil kira pengambilan hasil tenusu yang 94 peratus daripadanya datang daripada meminum susu lembu.


Rumusan ini juga dibuat selepas penyelidik menolak kebarangkalian kesan sampingan daripada makanan lain seperti daging, buah-buahan dan sayur-sayuran serta taraf sosioekonomi keluarga pesakit dalam kajian tersebut.


Kumpulan penyelidik itu bagaimanapun mencadangkan kajian lebih mendalam ke dalam cara hidup pesakit sebelum kesimpulan muktamad dibuat terhadap pengambilan hasil tenusu.


Jadual kerja fleksibel pekerja sihat


SEDIKIT kelonggaran dalam jadual kerja dapat melahirkan golongan pekerja yang lebih sihat, produktif dan mengurangkan tanggungan kos rawatan bagi majikan.

Sekumpulan penyelidik dari Sekolah Perubatan Universiti Wake Forest, Carolina Utara Amerika Syarikat mendapati pekerja yang tidak dikongkong jadual kerja ketat dapat mengamalkan senaman secara berkala dan berehat dengan secukupnya.


Lebih 3,200 pekerja sebuah syarikat farmasi ternama yang dinilai menunjukkan amalan cara hidup lebih sihat hasil pengurusan masa yang lebih baik dan fleksibel.


Pekerja-pekerja berkenaan diberikan pilihan untuk mengatur sendiri waktu kerja mereka mengikut keperluan syarikat termasuk bekerja dari rumah, berkongsi tugas atau menentukan waktu kerja sendiri.


Mereka bukan sahaja merasakan lebih bebas dalam jadual bekerja malahan dapat menyelitkan aktiviti senaman dengan jadual yang tidak terlalu ketat.


Kumpulan penyelidik itu juga merumuskan jadual yang terlalu sibuk dapat menggalakkan pengambilan makanan segera daripada makanan sihat bagi mengejar masa serta mengurangkan aktiviti senaman akibat terlalu letih bekerja.


Berjalan lebih berfaedah


AKTIVITI berjalan kaki terbukti meninggalkan kesan positif kepada kesihatan badan walaupun tanpa mengubah tabiat pemakanan seseorang.

Penyelidikan klinikal di Pusat Perubatan Universiti Duke, Amerika Syarikat menunjukkan aktiviti berjalan selama 30 minit untuk enam hari seminggu turut mengurangkan risiko sindrom metabolik yang dikaitkan dengan masalah obesiti dan kurang aktiviti fizikal.


Kajian terbaru itu mendapati penurunan mendadak masalah kesihatan seperti darah tinggi, kandungan gula darah yang tinggi dan perut buncit dengan hanya berjalan kaki sekitar kawasan rumah selepas makan malam.


Tahap kesihatan kumpulan sukarelawan kajian itu juga semakin bagus sehingga hampir menyamai tahap kesihatan individu yang mengamalkan aktiviti berjoging hampir 30 kilometer seminggu.


Selain itu, kajian berkenaan turut membuktikan aktiviti fizikal ringan setiap hari secara berterusan lebih baik daripada mengamalkan aktiviti fizikal berat hanya beberapa kali dalam satu minggu.


Penyelidik turut merumuskan penurunan berat badan hampir 10 kilogram dan pengurang ukur lilit pinggang sehingga 10 inci (25.4 sentimeter) boleh dicapai tanpa perubahan kepada cara hidup selepas 10 tahun dengan hanya riadah berjalan kaki untuk tempoh singkat setiap hari.


Penurunan ukur lilit pinggang dan berat badan ini pula akan lebih cepat dicapai dengan memperbanyakkan aktiviti berjalan kaki daripada menaiki kenderaan serta mengamalkan cara pemakanan yang lebih sihat.

No comments: