Wednesday, June 13, 2018

Jodoh

Pagi tadi Qaisarah ada bertanya dengan saya, makna perkataan jodoh. Kebetulan, ada lirik lagu tentang jodoh. Saya tanya lagi, mana dapat lagi perkataan ini. Dia kata selalu baca dalam kad kawin.

Saya menerangkan, makna jodoh adalah pertemuan lelaki dan perempuan sehingga sampai menjadi kahwin.

 

Thursday, June 7, 2018

Kurma bukan sekadar juadah berbuka puasa di bulan Ramadan

06 Jun 2018

Bulan Ramadan menjelma lagi, kurma dijual di merata negeri malah pelbagai jenama dapat diperolehi buat juadah sahur dan berbuka untuk semua umat Islam seluruh dunia.

Kurma merupakan buah daripada sejenis pokok palma genus Phoenix. Suruhanjaya Kodeks Alimetarius telah mendefinisikan kurma adalah produk yang disediakan dari pokok kurma yang nama saintifiknya adalah Phoenix dactylifera Linn. Pokok kurma merupakan antara tumbuhan tertua yang ditanam oleh manusia dan buahnya telah digunakan sebagai makanan penting sejak dahulu lagi terutama di negara Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, dan Mesir. Dalam Al-Quran, kurma disebut sebanyak dua puluh kali yang mana lapan kali disebut secara berasingan dan dua belas kali disebut bersama dengan buah-buahan lain seperti delima, anggur dan minyak zaitun.

Umum mengetahui bahawa buah kurma boleh dimakan terus dengan membuang bijinya. Namun, dalam industri makanan, buah kurma boleh diproses menjadi pelbagai jenis produk makanan termasuk jem, gula-gula, jus pekat, jeli, jeruk, dan sirap. Selain itu, kurma juga sangat popular digunakan dalam pembuatan produk roti, biskut, dan coklat serta boleh dijadikan inti produk yang boleh diadun bersama kelapa, madu, atau cuka. Walau bagaimanapun, minyak kurma dan kopi kurma merupakan produk sampingan kurma yang boleh dihasilkan daripada biji kurma.

Rasulullah SAW sangat suka makan kurma. Saidina A’ishah RA berkata pada suatu ketika rumah mereka tidak memasak makanan selama dua bulan, tetapi mereka hanya makan kurma dan minum air sehingga pada suatu hari Rasulullah SAW mengatakan pentingnya mempunyai kurma dalam rumah. Saiyidina A’ishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”. (Hadis, Sahih Muslim, 5078).

Kurma sangat sinonim dengan bulan Ramadan. Disebabkan itu, apabila tiba bulan Ramadan banyak pasaraya tempatan mengimport dan menjual kurma di pasaraya mereka dengan pelbagai jenis dan jenama. Banyak hadis menyebut tentang disunnahkan bersahur dan berbuka puasa dengan kurma. Antara hadis yang menyebut tentang sahur dan berbuka puasa dengan kurma adalah “Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma”. (Hadis, Sunan Abu Daud 2338).

Rasulullah SAW juga bersabda, “Apabila diantara kalian berpuasa, maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka berbukalah dengan air, sebab air itu suci”. (Hadis, Imam Abu Daud, Al-Baihaqi dan Al-Hakim). Seterusnya, Anas bin Malik meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW biasa berbuka puasa sebelum sembahyang maghrib dengan ruthob (kurma basah), jika tidak ada ruthob, maka beliau berbuka dengan tamar (kurma kering), dan jika tidak ada tamar, beliau meminum seteguk air”. (Hadis, Imam Abu Daud, 2356).

Di pasaran, kurma boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu khal, ruthob, dan tamar yang bergantung kepada peringkat kematangannya. Kurma khal merupakan kurma yang segar, masak keras, dan rangup. Kurma ruthob atau kurma basah pula merupakan kurma yang masak separuh yang mana teksturnya antara rangup dan lembut. Kurma tamar atau kurma kering ialah kurma yang masak penuh. Manakala kurma mentah pula dikenali sebagai kimri.

Kajian saintifik membuktikan bahawa sebahagian besar kandungan kurma adalah gula iaitu antara 50 dan 75%. Gula ringkas dalam kurma termasuk glukosa, fruktosa, mannosa, maltosa, rhaminosa, dan sukrosa yang mudah digunakan untuk penjanaan tenaga segera dalam tubuh manusia. Kandungan gula dalam kurma bergantung kepada jenis kurma dan kematangan, tetapi umumnya lebih tinggi daripada delima dan nenas. Oleh itu, penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat antara 30 dan 45 minit berbanding nasi yang memerlukan lebih kurang 4 jam untuk dicernakan. Justeru, berbuka puasa dengan kurma dapat memberi tenaga segera kepada tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan yang bersangatan.

Pengambilan kurma dalam diet seharian juga boleh mengelakkan daripada sembelit, penyakit jantung dan merendahkan kolesterol jahat. Kurma mengandungi peratusan serat tidak larut dan larut air antara 10 dan 20%. Serat tidak larut air sangat penting untuk membantu pergerakan najis dalam sistem penghadaman manusia seterusnya boleh mencegah sembelit. Manakala, serat larut air penting untuk mencegah penyakit jantung, dan mencegah peningkatan kolesterol jahat dalam darah. Dalam kebanyakan kurma, peratusan serat tidak larut air adalah lebih tinggi berbanding larut air.

Kajian saintifik telah melaporkan kurma boleh mencegah penyakit anaemia iaitu penyakit kekurangan darah merah akibat kekurangan pengambilan zat besi dalam makanan. Kurma mengandungi zat besi yang tinggi yang mana baik untuk orang yang mengalami anaemia. Kurma juga dianggap sebagai makanan tambahan yang praktikal bagi mereka yang mengalami kekurangan zat besi kerana ia tidak menunjukkan kesan sampingan seperti mual, sakit kepala, atau sembelit seperti dalam pengambilan tablet zat besi.

Kurma adalah baik untuk ibu yang mengandung. Ini kerana, kurma juga mengandungi mineral potasium dan kalsium. Kandungan potasium dalam kurma adalah 2.5 kali ganda lebih tinggi daripada buah-buahan lain. Potasium dapat mengekalkan rentak pengecutan otot badan dan jantung, serta mengawal atur tekanan darah ibu semasa pertumbuhan janin dalam rahim. Tambahan pula, kalsium adalah penting untuk pertumbuhan gigi dan tulang bayi dalam rahim. Di samping itu, kurma juga mengandungi vitamin C, tiamin, riboflavin, asid folik dan vitamin A. Walaupun kurma bukan sumber protein yang baik, namun kurma mengandungi kesemua dua puluh jenis asid amino. Namun, kandungan asid amino prolina, asid aspartik, alanina, glisina, valina dan leusina adalah lebih lebih tinggi berbanding asid amino lain. Kesemua nutrien ini dapat menyokong keperluan wanita mengandung dalam menyediakan nutrien yang mencukupi kepada ibu dan bayi.

Banyak kajian saintifik melaporkan kurma mengandungi bahan antipengoksida yang dikaitkan dengan komponen fenolik dan flavonoid yang terkandung dalam kurma. Komponen ini sangat penting untuk mencegah kanser. Kajian saintifik telah melaporkan yang kandungan komponen fenolik dalam kurma adalah paling tinggi pada peringkat awal pemasakannya dan berkurang apabila kurma masak. Selain itu, kurma juga mengandungi komponen antosianidin yang dipercayai boleh membantu merendahkan risiko kanser.

Secara umumnya, kurma memberikan banyak manfaat kesihatan kepada manusia. Kurma sepatutnya bukanlah makanan bermusim yang diambil ketika bersahur dan berbuka puasa di bulan Ramadan. Kandungan nutrien kurma bergantung kepada jenis kurma dan tahap kematangannya. Namun, sebagai pengguna yang bijak, pengambilan kurma dalam diet seharian perlulah dalam kadar yang sederhana supaya manfaat kesihatan dapat diperolehi dengan optimum.