06 Jun 2018
Bulan Ramadan menjelma lagi, kurma dijual di merata negeri malah
pelbagai jenama dapat diperolehi buat juadah sahur dan berbuka untuk
semua umat Islam seluruh dunia.
Kurma merupakan buah daripada sejenis pokok palma genus Phoenix.
Suruhanjaya Kodeks Alimetarius telah mendefinisikan kurma adalah produk
yang disediakan dari pokok kurma yang nama saintifiknya adalah Phoenix
dactylifera Linn. Pokok kurma merupakan antara tumbuhan tertua yang
ditanam oleh manusia dan buahnya telah digunakan sebagai makanan penting
sejak dahulu lagi terutama di negara Asia Barat seperti Arab Saudi,
Iran, Iraq, dan Mesir. Dalam Al-Quran, kurma disebut sebanyak dua puluh
kali yang mana lapan kali disebut secara berasingan dan dua belas kali
disebut bersama dengan buah-buahan lain seperti delima, anggur dan
minyak zaitun.
Umum mengetahui bahawa buah kurma boleh dimakan terus dengan membuang
bijinya. Namun, dalam industri makanan, buah kurma boleh diproses
menjadi pelbagai jenis produk makanan termasuk jem, gula-gula, jus
pekat, jeli, jeruk, dan sirap. Selain itu, kurma juga sangat popular
digunakan dalam pembuatan produk roti, biskut, dan coklat serta boleh
dijadikan inti produk yang boleh diadun bersama kelapa, madu, atau cuka.
Walau bagaimanapun, minyak kurma dan kopi kurma merupakan produk
sampingan kurma yang boleh dihasilkan daripada biji kurma.
Rasulullah SAW sangat suka makan kurma. Saidina A’ishah RA berkata
pada suatu ketika rumah mereka tidak memasak makanan selama dua bulan,
tetapi mereka hanya makan kurma dan minum air sehingga pada suatu hari
Rasulullah SAW mengatakan pentingnya mempunyai kurma dalam rumah.
Saiyidina A’ishah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Sebuah keluarga yang mempunyai kurma tidak akan lapar”. (Hadis, Sahih
Muslim, 5078).
Kurma sangat sinonim dengan bulan Ramadan. Disebabkan itu, apabila
tiba bulan Ramadan banyak pasaraya tempatan mengimport dan menjual kurma
di pasaraya mereka dengan pelbagai jenis dan jenama. Banyak hadis
menyebut tentang disunnahkan bersahur dan berbuka puasa dengan kurma.
Antara hadis yang menyebut tentang sahur dan berbuka puasa dengan kurma
adalah “Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma”. (Hadis,
Sunan Abu Daud 2338).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Apabila diantara kalian berpuasa, maka
berbukalah dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka berbukalah dengan
air, sebab air itu suci”. (Hadis, Imam Abu Daud, Al-Baihaqi dan
Al-Hakim). Seterusnya, Anas bin Malik meriwayatkan bahawa “Rasulullah
SAW biasa berbuka puasa sebelum sembahyang maghrib dengan ruthob (kurma
basah), jika tidak ada ruthob, maka beliau berbuka dengan tamar (kurma
kering), dan jika tidak ada tamar, beliau meminum seteguk air”. (Hadis,
Imam Abu Daud, 2356).
Di pasaran, kurma boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu khal,
ruthob, dan tamar yang bergantung kepada peringkat kematangannya. Kurma
khal merupakan kurma yang segar, masak keras, dan rangup. Kurma ruthob
atau kurma basah pula merupakan kurma yang masak separuh yang mana
teksturnya antara rangup dan lembut. Kurma tamar atau kurma kering ialah
kurma yang masak penuh. Manakala kurma mentah pula dikenali sebagai
kimri.
Kajian saintifik membuktikan bahawa sebahagian besar kandungan kurma
adalah gula iaitu antara 50 dan 75%. Gula ringkas dalam kurma termasuk
glukosa, fruktosa, mannosa, maltosa, rhaminosa, dan sukrosa yang mudah
digunakan untuk penjanaan tenaga segera dalam tubuh manusia. Kandungan
gula dalam kurma bergantung kepada jenis kurma dan kematangan, tetapi
umumnya lebih tinggi daripada delima dan nenas. Oleh itu, penyerapan
gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat antara 30 dan 45 minit
berbanding nasi yang memerlukan lebih kurang 4 jam untuk dicernakan.
Justeru, berbuka puasa dengan kurma dapat memberi tenaga segera kepada
tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan yang bersangatan.
Pengambilan kurma dalam diet seharian juga boleh mengelakkan daripada
sembelit, penyakit jantung dan merendahkan kolesterol jahat. Kurma
mengandungi peratusan serat tidak larut dan larut air antara 10 dan 20%.
Serat tidak larut air sangat penting untuk membantu pergerakan najis
dalam sistem penghadaman manusia seterusnya boleh mencegah sembelit.
Manakala, serat larut air penting untuk mencegah penyakit jantung, dan
mencegah peningkatan kolesterol jahat dalam darah. Dalam kebanyakan
kurma, peratusan serat tidak larut air adalah lebih tinggi berbanding
larut air.
Kajian saintifik telah melaporkan kurma boleh mencegah penyakit
anaemia iaitu penyakit kekurangan darah merah akibat kekurangan
pengambilan zat besi dalam makanan. Kurma mengandungi zat besi yang
tinggi yang mana baik untuk orang yang mengalami anaemia. Kurma juga
dianggap sebagai makanan tambahan yang praktikal bagi mereka yang
mengalami kekurangan zat besi kerana ia tidak menunjukkan kesan
sampingan seperti mual, sakit kepala, atau sembelit seperti dalam
pengambilan tablet zat besi.
Kurma adalah baik untuk ibu yang mengandung. Ini kerana, kurma juga
mengandungi mineral potasium dan kalsium. Kandungan potasium dalam kurma
adalah 2.5 kali ganda lebih tinggi daripada buah-buahan lain. Potasium
dapat mengekalkan rentak pengecutan otot badan dan jantung, serta
mengawal atur tekanan darah ibu semasa pertumbuhan janin dalam rahim.
Tambahan pula, kalsium adalah penting untuk pertumbuhan gigi dan tulang
bayi dalam rahim. Di samping itu, kurma juga mengandungi vitamin C,
tiamin, riboflavin, asid folik dan vitamin A. Walaupun kurma bukan
sumber protein yang baik, namun kurma mengandungi kesemua dua puluh
jenis asid amino. Namun, kandungan asid amino prolina, asid aspartik,
alanina, glisina, valina dan leusina adalah lebih lebih tinggi
berbanding asid amino lain. Kesemua nutrien ini dapat menyokong
keperluan wanita mengandung dalam menyediakan nutrien yang mencukupi
kepada ibu dan bayi.
Banyak kajian saintifik melaporkan kurma mengandungi bahan
antipengoksida yang dikaitkan dengan komponen fenolik dan flavonoid yang
terkandung dalam kurma. Komponen ini sangat penting untuk mencegah
kanser. Kajian saintifik telah melaporkan yang kandungan komponen
fenolik dalam kurma adalah paling tinggi pada peringkat awal
pemasakannya dan berkurang apabila kurma masak. Selain itu, kurma juga
mengandungi komponen antosianidin yang dipercayai boleh membantu
merendahkan risiko kanser.
Secara umumnya, kurma memberikan banyak manfaat kesihatan kepada
manusia. Kurma sepatutnya bukanlah makanan bermusim yang diambil ketika
bersahur dan berbuka puasa di bulan Ramadan. Kandungan nutrien kurma
bergantung kepada jenis kurma dan tahap kematangannya. Namun, sebagai
pengguna yang bijak, pengambilan kurma dalam diet seharian perlulah
dalam kadar yang sederhana supaya manfaat kesihatan dapat diperolehi
dengan optimum.
No comments:
Post a Comment