Tuesday, January 26, 2010

Telefon! oh Telefon!

Aku pening dengan telefon. Dulu aku pasal nokia 3310, dari 2002 sampai 2008. Tahan 6 tahun. Tahun 2008 masa bulan Nov, suami aku belikan hp baru model nokia juga tahan setahun saja. Itupun sebab Qaisarah masukkan dalam baldi. Leps tu, suami belikan iphone baru dari seorang kawan. Baru 3 minggu, entah kenapa semlm tak boleh caj. Charger rosak atau tel rosak aku pun tak tahu lah. Sebenarnya, talian tetap di rumah aku pun, dah pernah rosak, sebab Qaisarah suka tarik-tarik wayar telefon tu. Telefon baru ni pun macam tu juga. Qaisarah suka betul tarik-tarik. pening kepala aku. rasanya tak payah ada tel macam dulu-dulu lagi bagus agaknya.


Monday, January 25, 2010

Membeli-belah

Dua hari lepas, kami sekeluarga pergi membeli-belah di Nilai 3. Aku borong tudung sebanyak 5 helai. Harga sehelai RM15. Mana nak dapat tudung bidang 60 inci dengan harga yang murah dan sulam yang cantik-cantik. Suami pula memborong seluar dan baju kerja. Qaisarh pun dapat baju samapi 4 helai. Lama tak membeli-belah. Tengok lampu dan aksesori untuk hiasan rumah. Keluar rumah pukul 2.30 ptg sampai 6.30 ptg. Sebelum balik hantar Qaisarah ke klinik panel. Badan Qaisarah kudis-kudis. Dr bagi cucuk kat bontot. Dr kata ada jangkitan.



Friday, January 22, 2010

Qaisarah megigau

Pagi tadi masa tengah bersiap-siap ke pejabat, tiba-tiba terdengar Qaisarah kata... papa. Aku terdiam. Tengok kejap mata dia. Pejam lagi mata dia. La... rupanya ngigau papa...mimpi apatah Qaisarah ni. Agaknya main dengan papa kot.



Monday, January 4, 2010

Tahun Baru 2010

Tahun baru biasanya orang akan pasang azam baru. Tahun baru kali ini aku berapa di JB. Balik JB jenguk MIL dan atuk nenek yang duduk berdua di kampung. Qaisarah dah nak masuk setahun enam bulan. Yang baru selamat anak, tahniah! Yang akan melangsungkan perkahwinan, tahniah!


Saturday, January 2, 2010

Nexus PRO UPSR SCIENCE



Tahun: 2010 

Tajuk: Nexus PRO UPSR SCIENCE 

Pengarang: Dr. Faujan H. Ahmad, Alias Abdullah, Nur Huda Faujan 

ISBN: 978-983-59-4596-0

Penerbit: Sasbadi Sdn. Bhd.

Tuesday, December 22, 2009

Bengkel

Tiga hari dua malam mengikuti bengkel di Seremban. Qaisarah seronok duduk dalam hotel. lena tidur, asyik membuang najis dengan senang dan suka main telefon dalam hotel.

Makanan di Klana Resort biasa saja. Tempat penginapan memang sangat bagus. Bila menghadiri bengkel, kepala jadi penat berfikir. Yang penting santai dan tenang.



Friday, December 11, 2009

Cuti Umum Selangor

Selangor cuti umum sempena hari ulangtahun kelahiran sulatan selangor. Aku walaupun kerja di lain negeri, ambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga.

Ella: Selamat Hari Lahir ke-30. Untung ko, birthday sama dgn sultan, setiap tahun boleh cuti...


Wednesday, November 25, 2009

Khasiat Madu

Keistimewaan Madu Lebah:
1- Tidak menganggu selaput dinding sistem penghadaman.
2- Mudah dan cepat diasimilasikan oleh badan.
3- Membekalkan tenaga yang diperlukan oleh badan dengan cepat.
4- Membantu memulihkan tenaga ahli sukan atau sesorang yang menggunakan tenaga dengan banyak.
5- Walaupun mengandungi gula, tetapi gulanya jenis yang mudah dan serasi dikendalikan oleh buah pinggang.
6- Ia mempunyai kesan laxative semulajadi bagi melawas pembuangan air besar.
7- Amat berkesan badi menenangkan tubuh dan akal fikiran.
8- Madu menjaga jantung dan menjauhkan sejuk dari dada. Ia boleh memberi perlindungan dari pelbagai jenis penyakit.
9- Hati orang yang beriman itu manis dan kerana itu ia suka kepada kemanisan (madu).
10- Ia baik untuk kesihatan, boleh memberi tenaga dan mencerdikkan akal.

Surah An-Nahl ayat 68 Allah menjelaskan bahawa madu yang keluar daripada lebah berperanan sebagai ubat bagi pelbagai jenis penyakit. Bagi penyakit pada otak seperti lemah berfikir dan mudah lupa, amalan meminum madu lebah dikatakan dapat membantu mengatasi penyakit tersebut.

Antara keistimewaan madu lebah dapat diungkapkan dalam kata-kata Ibnu Sina:
"Madu itu menguatkan roh (kerohanian). Madu menambah kerajinan dan semangat, membuka selera makan, memelihara kemudaan dan menolong melancarkan ucapan".

Tepatlah tulisan Dr. Rihaan 'Ukaawi: "Madu berupa bahan berunsur manis yang menimbulkan kerajinan, kekuatan, kecemerlangan, bertenaga dan kesukaan".

Oleh kerana itu, Rasulullah SAW sangat senang minum madu dan bahkan membiasakannya. Madu merupakan makanan dan minuman berkhasiat dalam kepentingan fizikal dan mental. Orang Arab mempunyai ingatan yang kuat adalah berpunca daripada berkatnya madu lebah.

Dalam Tib an Nabawi, Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah memetik hadis Rasulullah SAW, maksudnya: "Hendaklah kamu berubat dengan dua perkara; iaitu madu dan al-Quran". (Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Kandungan Madu Lebah:
Vitamin;
1- Vitamin A
2- B-Komplek
3- Vitamin C
4- Vitamin E
5- Vitamin K

Zat Galian;
1- Kalsium
2- Sulphur
3- Fosforos
4- Zat Besi
5- Karbon
6- Magnasium
7- Naterium
8- Kalium
9- Klorin
10- Iodin
11- Kuprum
12- Maganese
13- Silica
14- Riboflavin
15- Protein
16- Potassium
17- 10 Hda
18- Kromium

Bahan-bahan yang terdapat di dalam madu lebah bertindak sebagai:
1- Zat yang bernilai tinggi
2- Agen penjagaan kesihatan
3- Ubat kepada pelbagai penyakit

Ibnu Juraij ra. pernah menyebutkan perkataan Imam Az-Zuhri ra. tokoh hadis di kota Madinah yang berkata: "Selalulah anda minum madu kerana sesungguhnya ia bagus untuk hafalan".

Menurut Ibnu Qaiyyim dalam Tib an-Nabawi (Kitab Perubatan Nabawi dan Tabi-ie): "Madu merupakan makanan bersama makanan yang lain, ubat bersama ubatan yang lain, minuman bersama minuman yang lain, manisan bersama manisan yang lain, bahan adunan bersama bahan adunan yang lain dan memberi kezalatan kepada hidangan-hidangan yang lain".

Madu juga berperanan menghilangkan lendir atau kahak dalam dada dan kerongkong, yang menyebabkan lupa. Sering meminum madu akan menghilangkan lendir tersebut dan ingatan menjadi kuat.

Di dalam kitab Bainal Tib wal Islam, Doktor Hamid al-Ghawabi menulis bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya: "Sesiapa ingin menghafal, hendaklah minum madu. Ia adalah penyembuh segala penyakit, manakala al-Quran adalah penyembuh penyakit jiwa (hati) , kerana itu hendaklah kamu selalu menggunakan dua jenis ubat, iaitu madu dan al-Quran (pembacaan dan pengubatannya)".

Cara makan madu lebah:
1- Dimakan terus.
2- Madu boleh dijadikan minuman apabila dicampur dengan air atau minuman lain.
3- Bagi mereka yang sukar tidur malam (insomnia) amalkan minum 1 sudu besar madu lebah sebelum tidur malam.

Menurut Imam Adz-Dzahabi: "Adalah Nabi SAW pada setiap hari minum segelas madu yang telah dicampur dengan air kosong sebelum sarapan".


Sunday, November 22, 2009

Kurma

Khasiat Kurma


1. KESIHATAN

a. Mencegah Penyakit Kronik Seperti Jantung & Kencing Manis
Berdasarkan kajian Prof Madya Asiah Zain, pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan “Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan risiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah”. (Berita Harian, Selasa, 20 Februari, 2001)

b. Merangsang Dan Memudahkan Kehamilan
Prof Madya Asiah juga berkata, buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang kesihatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga tambahan.

c. Membunuh Kuman Dalam Badan
Saidina Ali r.a. meriwayatkan “Barang siapa yang memakan 7 butir tamar setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya”.


2. KECERDASAN & KECERGASAN

a. Kecerdasan Minda Dan Membantu Proses Tumbersaran
Menurut Prof Madya Aiah lagi, kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekaligus membentuk minda kanak-kanakyang sihat.

b. Tenaga Segera
Maksud Firman Allah swt dalam surah Maryam: Ayat 25-26.
“Dan goyanglah pangkal pohon kurma tu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu.”

Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah swt menyuruh Saidatina Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa a.s. dan sentiasa bertenaga setelah melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darahyang banyak.


3. KEPERIBADIAN

a. Membentuk Sifat Penyabar, Bersopan Santun Dan Cerdas Pemikiran

Maksud hadis Rasulullah s.a.w. : “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”

“Melentur buluh biar dari rebungnya.” Islam mengajar kita mendidik anak sejak dari dalam kandungan ibu agar anak yang bakal dilahirkan itu dibentuk mengikut rohaniah yang suci serta memiliki tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas. Buah kurma merupakan makanan yang mampu membentuk insan yang berperibadi luhur. Seorang pelatih dari Universiti Sains Malaysia (USM) menulis tentang hadis ini dalam majalah Mingguan Wanita.


4. KEBERKATAN

a. Mengambil Keberkatan Sewaktu Kelahiran
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya: “Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma.”

b. Makanan Yang Paling Sempurna
Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. : “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”

Dengan sebab itulah Prof Madya Asiah menyatakan lagi ” pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan harian.”



Thursday, November 19, 2009

Pelajar sekarang

Pelajar sekarang bila masa musim peperiksaan sibuk SMS pensyarah tanya soalan apa yang keluar. Dulu kita punya seram nak tanya suka-suka pada pensyarah. Memanglah dulu pelajar tiada telefon bimbit. Malah pensyarah sendiri pun tiada telefon bimbit. Itulah pelajar sekarang. Tak tahulah masa akan datang.


Wednesday, November 18, 2009

Rutin kerja


Baru habis tanda kerja peperiksaan pelajar. Kena menilai tesis pelajar pula.

Ini adalah gambar Qaisarah dari umur 0 bulan hingga 12 bulan.

Sunday, November 15, 2009

Pagi ahad

Pagi semalam mengemas bilik tidur yang dah berhabuk sangat. Semalam birthday abah. Semoga panjang umur dan murah rezeki. Empat hari lepas hari ulangtahun kelahiran aku. Ada orang bagitahu aku, sipa lahir bulan November adalah orang yang hebat. Hebat sangat ke aku??? Kita semua dilahirkan adalah untuk menjadi yang terbaik.

Pagi tadi, sidai baju, goreng karipap, sapu sampah. Si suami hanya memandikan si anak yang kian lasak dan kian banyak cakap sambil menonton cerita-cerita kartun yang sebagainya. Tengahari ini... belum merancang untuk masak apa.



Monday, November 9, 2009

Cerita Raya 2009

Lama tak kemaskini blog. Cerita raya pun dah lapuk. Seminggu raya macam pergi rumah orang kawin. Tahun ini pun aku tak beraya sangat. Entah mood raya kurang sedikit. Cuma ke rumah terbuka mak cik yang depan rumah. Kawan yang datang pun di akhir bulan Syawal. Dalam dua minggu lagi nak sambut Aidiladha pula.


Monday, September 21, 2009

Aidilfitri 1430 H



2 Syawal 1430H. Sebelum bertolak ke Kelantan.
Tahun ni tiada gambar yang menarik.
Gambar dirakam melalui tel bimbit.
Tema aidilfitri adalah merah-merah jambu.


Friday, September 18, 2009

Baju Raya

Semalam aku baru dapat baju raya yang ditempah. Pakaikan baju tu kat Qaisarah. Punyalah melaram dia. Seronok dapat baju baru. Tahun ini tema kami warna merah-pink. Kiut betullah Qaisarah pakai baju kurung.


Thursday, September 3, 2009

Baiki telefon

Minggu lepas, aku ambil keputusan cuba hantar kedai untuk baiki telefon bimbit yang rosak akibat dimasukkan dalam baldi berisi air oleh Qaisarah. Baru tadi, aku dapat. balik. Kos baiki RM130. Mahal jugak... Takpelah... Yang penting simpan bajet untuk raya. Ada jaminan seminggu.



Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadan

Ramadan kali ini, tahun kedua bersama Qaisarah. Dah masuk setahun sebulan lebih. Qaisarah dah pandai berlari. Tahun lepas baru masuk 2 bulan, masa bulan puasa. Baru kurung raya untuk Qaisarah dah tempah. Sangatlah tak sabar nak tengok dia pakai baju kurung.



Thursday, August 13, 2009

Telefon bimbit

Baru beli telefon kat rumah, hand phone sendiri Qaisarah masuk dalam baldi ada air... tak tahulah nak beli baru ke repair.



Tuesday, August 11, 2009

Beli telefon

Setelah beberapa bulan, telefon rumah rosak, internet kat rumah tak boleh pakai. Akhirnya tadi berkesempatan beli telefon kat Mydin. Wah! sungguh seronok. Selama beberapa bulan ni aku bayar tanpa menggunakan telefon dan internet di rumah...(Kayakan Telekom je). Lepas ni macam-macam aku boleh explore.



Monday, August 10, 2009

Kunci

Pagi tadi punyalah jenuh cari kunci kereta. Selalu keluar rumah pukul 7.00 pg, tadi pukul 7.30 pg baru keluar. Puas duk mencari, tengok-tengok dalam beg Minnie Qaisarah. Tak tahulah dia yang masukkan atau termasuk sekali masa masukkan baju-baju dia. Sebenarnya aku dah kemas awal-awal beg Qaisarah termasuk dengan ubat demam dia sekali. Suami aku, duk sibuk ambil ubat, lepas tu dia tak zip beg. Aku dah pesan suruh zip. Jasi, masa dia orang berdua dah tidur, aku terus zip beg Qaisarah tanpa periksa balik. Penat dah nak kemas.




Sunday, August 9, 2009

Kemas rumah

Aku dah tak larat nak kemas rumah, macam baru kemas dah berhabuk dan bersepah. Akhirnya, aku upah bibik kemas dan sapu tingkat atas rumah aku dan semua bilik air. Tiga jam terus siap. Aku upah RM30. Lega rasa... Lepas ni dah tak nak kemas-kemas dah. Banyak benda lain lagi penting kena siap kan.



Thursday, August 6, 2009

Nisfu Syaaban

Nisfu dlm bahasa arab beerti setengah. Nisfu Syaaban beerti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Al-Baihaqi r.a:


Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dah sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesunguhnya Allah Azzawajjal telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap org2 yg dengki."

Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:

1.Solat sunat nisfu sya'aban - terdapat dua cara mengerjakan solat sunat ini

Sembahyang 100 rakaat dengan memberi salaam selepas setiap 2 rakaat. Surah Al-Ikhlas dibaca sebanyak 11 kali setelah setiap rakaat setelah membaca surah al-Fatihah

Sembahyang 10 rakaat dengan memberi salaam selepas setiap 2 rakaat. Surah Al-Ikhlas dibaca sebanyak 100 kali setelah setiap rakaat setelah membaca surah al-Fatihah

2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya


i) Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah

ii) Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah

iii) Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman

3. Berpuasa pada siangnya (mulai pagi esoknya-15 Syaaban)


Disusun dengan bantuan Ustaz Abdul Kareem As-Saquofi

Arkib dari Risalah Surau Malabar Hidayatul Islam



Tuesday, August 4, 2009

Award from Farah



Ganjaran ini, telah diberi oleh Farah. Terima kasih Farah. Dan minta maaf sebab lambat terima.





Jumpa Bos

Lepas habis kuliah aku jumpa bos. Bos suruh aku bertutur dalam Bahasa Inggeris. Aku cakap je, tapi terus terang aku kata, aku lebih suka bercakap dalam Bahasa Melayu. "I told bos that, Yes... I speak English, but I am comfortable to speak Malay."

Aku mempunyai persektif tersendiri. Sebenarnya, makin kita agungkan Bahasa Inggeris, makin banyak kita hilang istilah dalam Bahasa Melayu.

Contoh-contoh di bawah boleh kita fikirkan dan renungkan bersama.

Kes 1:
Aku ada seorang kawan yang sama-sama belajar. Dia lebih banyak menggunakan istilah Bahasa Inggeris dari melayu. Satu hari, dia kata... mana nak centrifuge kalau nak guna centrifuge yang besar? Aku kata, bilik tu ada ada di sebelah surau, yang setiap hari kita lalu. Yang mana??? Yang ada tulis bilik pengempar depan pintu. Selama ini, dia tak faham apa itu pengempar. Sesiapa yang tidak faham pengempar, pengempar adalah centrifuge.

Kes 2:
Seorang kawan telah menghadiri satu sessi temuduga untuk memohon biasiswa untuk menyambung pelajaran. Bila ditanya, apa itu fermentation dalam istilah Bahasa Melayu. Terdiam seketika memikirkan jawapan. Jawapan: fermentation adalah penapaian.


Aku bangga menjadi graduan UKM, walaupun kadangkala ada yang memperlekehkan sebab semua belajar dan tulis tesis dalam Bahasa Melayu. Tapi sedarkah kita, yang sesungguhnya kita hilang istilah Bahasa Melayu yang telah diperjuangkan tokoh terdahulu. Pada aku, Bahasa Melayu perlu dikuasai dahulu dan menjadi bahasa utama. Sedangkan Bahasa Inggeris dan sebagainya mesti juga dikuasai. Jangan bahasa sendiri tidak fasih, mengagungkan bahasa lain. Susunan struktur ayat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga berterabur. Sos cili jadi cili sos. Iklan-iklan di media juga tidak peka terhadap susunan bahasa. Justeru.... tidak ada dalam kamus Justeru itu.... Bukan apa, dari pemerhatian aku, bila semua dalam Bahasa Inggeris, mereka tidak fasih lagi untuk menerangkan sesuatu dalam Bahasa Melayu. Sedangkan, di pelusuk-pelusuk kampung istilah Bahasa Melayu tidak semua yang difahami. |Pernah satu hari, seorang jiran kampung aku tanya, apa makna realiti, yang secara kebetulan kami sama-sama menonton berita di media elektronik. Apatah lagi istilah seperti amatur, fenomena, profesion yang sebagainya... seorang kanak-kanak pernah juga bertanya kepada ibunya... apa itu menggapai langit???


Monday, August 3, 2009

My cousin convo

Sabtu lepas, sepupu suami konvo di Putrajaya. Mak mentua datang. Yang seronok semua dia masak. Aku memang seorang menantu yang malas nak tunujk rajin depan mak mentua. Nasib dapat mak mentua yang sempoi dan simple. Kalau dia datang pun, rumah aku pun aku malas nak kemas cun-cun. Aku malas nak stress kan diri. Kemas ala kadar je, makan pun ala kadar.



Tuesday, July 14, 2009

cukai

Semalam, bayar cukai tanah, tertunggak samapi RM700++. Harga dah macam makan sekotak byoung. Bila nak bayar, tengok dah naik jadi RM800++. Mak ai, bayar harga denda je. Bukan kami tak nak bayar. Sebenarnya, bila dah tertunggak, pej pos tak boleh terima bayaran kami. Itu yang tertunggak2. Kalau ye pun jangan lah senang lenang naikkan harga denda.



Friday, July 10, 2009

Qaisarah one year





Happy birthday to Qaisarah. Dah besar dah anak aku. Tapi belum pandai jalan lagi. Gigi dah ada 10 batang. Semoga jadi anak yang soleh serta bijak pandai.





Tuesday, July 7, 2009

Bos

Hari ini birthday bos aku. Aku SMS ucap selamat ulangtahun. Bos balas kata terima kasih kerana ingat. Aku teringat masa kita semua buat kejutan masa ulangtahun ke-58 bos. Bos kata tahun depan buat lagi kejutan untuk dia. Walaupun bos kadang-kadang bising kat kami semua, aku rasa dia seorang bos yang dedikasi dan bertanggungjawab. Ambil berat dan sangat prihatin. Semoga bos sentiasa sihat. Tahun lepas, aku dalam saat-saat menunggu kelahiran Qaisarah masa bulan Julai. Aku ingat dia boleh lahir 7 julai, sama dengan bos aku. Harapan dia jadi macam bos. tengok2 lahir 10 Julai.



Monday, July 6, 2009

Filem lama

Semalam, aku hantar filem gambar untuk dicuci. Untuk pengetahuan, filem tu dalam kamera aku dah hampir 3 tahun. Sebab masa filem tu belum habis, aku sudah membeli sebuah kamera digital. Gambar pun dah pudar. Aku habiskan dengan ambil gambar Qaisarah.

Hari ini, seawal pagi aku ke perhimpunan staf. Bila ambil kehadiran, aku tersilap pula tulis nombor staf. Baru je nak munculkan diri, dah tersilap tulis nombor staf.



Friday, July 3, 2009

Nikmat kesihatan

Lepas makan satu produk ni, badan aku rasa semakin sihat. Sebelum ni, urut dah, makan jamu dah, makan pil tradisional dah, bekam dah... tapi rasa lendir dalam badan rasa masih ada. Makan seminggu, rasa macam nak demam, tapi yang rasa lega, kahak aku banyak keluar. Pagi-pagi dah terbatuk-batuk. Sampai tekak perit.

Sebelum ini, aku ada pergi klinik kesihatan periksa darah. Semuanya, normal. In fact, komposisi hemoglobin aku mencapai 13 (ntah unit apa tak pasti). Masa mengandung turun sampai 10. Komposisi darah putih dan merah, tekanan darah semua normal. Manalah tahu, menyusukan anak, hemoglobin boleh turun ke paras tidak normal.

Lepas bekam rasa ok, tapi bila masuk minggu ke-2, aku rasa balik lendir2 dan kahak2 dalam badan aku yang membuatkan aku rasa tak selesa. Alhamdulillah, semuanya itu dari Allah juga. Bersyukur aku pada Ilahi. Kdg2 kita manusia lupa akan nikmat kesihatan yang Allah berikan. Nikmat kejayaan, kekayaan dan lain-lain, kita selalu bernazar dan sujud syukur. Ya Allah! Berikan aku kesihatan yang baik untuk aku mudah beribadah kepadamu. Semua kerja yang aku lakukan adalah untuk ibadah kepada mu.



Friday, June 26, 2009

Misi

Misi tulis tesis untuk draf baru je selesai. Lepas ini misi untuk buat nota kuliah pula. Misi kemas rumah yang tunggang-langgang entah bila. Baru je kemas, cepat betul bersepah dan berhabuk. Minggu lepas, vakum ruang tamu. Baru gerakkan sedikit vakum itu, habuk dan nampak dalam air. Seronok vakum karpet dgn vakum versi 3 in 1. Wet, blow and dry vakum.



Wednesday, June 10, 2009

Cerita Qaisarah

Hari ini Qaisarah genap 11 bulan. Gigi Qaisarah dah nak tambah 2 batang lagi, bahagian bawah. Jadi, jumlah gigi semua nak masuk empat batang. Kadang2 suka gigit mama. Telinga, perut papa dia pun nak gigit.

Pantang tengok orang makan. Mesti bunyi... am! am! mam! mam! yum! yum! Pandai panjat2 meja dah...kerusi... suka buka2 laci dan almari... Mama, sekarang terpaksa kunci semua almari dan laci. Bukan apa, bila Qaisarah buka, tutup, buka, tutup... tangan tersepit... lepas tu menjerit...




Monday, June 8, 2009

Jengka! Oh, Jengka!




Sabtu lepas, 6 Jun, aku sekeluarga ke Jengka, Pahang atas urusan pertunangan adik ipar aku. Kami bertolak dari rumah lebih kurang 8.30 pg. Sebelum bertolak, kami bersarapan dulu. Suami aku sempat service kereta dia dulu.

Sampai di Tol Gombak, jalan agak sesak. Trafik perlahan. Syukur tidak sesak sampai tidak boleh bergerak. Cuma jalan sesekali perlahan. Bila tiba di Tol Karak, jam menunjukkan lebih kurang pukul 11 lebih. Akhirnya kami keluar ke Pusat Bandar Jengka dalam pukul 12 tghari.



Qaisarah yang sentiasa tidur dalam kereta.
Aktif bila sampai rumah bakal pengantin.

Nak dijadikan cerita, kami berhenti sebentar di Shell, Jengka 19. Kami ingat boleh sampai awal, sbb keluarga dari JB sedang dalam perjalanan, belum sampai ke Jengka 6, tempat bakal tunang adik ipar. Kami tidak tergerak hati untuk bertanya orang di sekeliling. Kami meneruskan perjalanan, sehingga ke simpang arah Jerantut...isk dah jauh... tanya orang mana Jengka 6, dan kami berpatah balik. Masuk ke simpang kiri, Jengka 1 dan 10 yang kami jumpa, berpusing dan patah balik, tanya orang di Petronas. Nampak tanda ke Jengka 2,3,4,5,6 dan 7...masuk ke kiri....
Bila masuk simpang, habis Jengka 5, kami tak nampak arah ke Jengka 6. Dah ke simpang Maran dan Kuantan. Tanya orang, patah balik dalam 20km baru ada tanda Jengka 6. Akhirnya semua Jengka kami dah jelajah. Jengka 6 baru muncul. Hampir 2 jam, cari arah Jengka 6.

Bila bercerita dengan kawan yang pernah kerja di jengka dulu, dia kata... ko memang dah jelajah satu segitiga Jengka. Bunyi macam segitiga bermuda. Tragis... Dia pun pernah terkena. Kata dia, papan tanda ke Jengka 6, memang terlindung-lindung. Nasib baik Qaisarah baik. Tidur je sepanjang jalan.



Friday, June 5, 2009

Seronoknya membeli-belah

Ahad lepas aku borong kain untuk buat baju. Hari ini aku beli dua helai tudung. Warna merah jambu dan oren. Cuma bulan ni belum memborong keronsang. Minggu lepas, beli satu set sauna. Sungguh meriah membeli-beli.


Thursday, June 4, 2009

Family Dinner On the Spot

Tengahari semalam, mak telefon. Tanya nak ikut ke Bagan Lalang tak. Mak kata, abah nak ajak anak-anak makan sekeluarga. Yelah, sekarang cuti sekolah semua ada, kecuali adik aku yang baru masuk matrikulasi. Mak kata adik (#4) ada kat sana, sebab ada kursus kat Seri Malaysia Bagan Lalang. Jadi, dia boleh tempahkan meja dulu.

Aku telefon suami. Dia kata OK. Lepas manghrib kami bertolak. Meja yang dah ditempah, dah diambil orang sebab kami sampai lewat.

Aku rasa, ada 4 jenis ekor ikan yang dimakan. Makanan semua OK. Cuma nasi kurang memuaskan. Ada karnival jualan. Kami beli baju T-shirt sehelai RM2. 6 helai bersamaan RM10.



Wednesday, June 3, 2009

Episod Bekam

Sabtu lepas, aku dgn suami pergi ke Pusat Rawatan Islam untuk berbekam. Sebenarnya, selepas urutan 3 hari berturut yang lepas, aku rasa lebih bertenaga. Sakit menyucuk dalam badan rasa kurang. Tapi, kadang-kadang aku rasa tidak selesa di dada dan belakang badan.Rasa tekak berlendir, angin menyucuk-nyucuk masih terasa. Kakak mengurut aku kata, angin dalam badan aku memang banyak. Boleh dikurangkan dengan makan jamu atau halia atau benda-benda panas. Ais memang dah 3-4 bulan aku tinggal. Kalau minum ais, ya Rabbi... terasa lagi menyucuk-nyucuk. Badan sengal-sengal.

Pengalaman kali pertama berbekam, memang mendebarkan. Al-Maklum bila aku tengok kat website, keluar darah berketul-ketul. Sakit ke masa cucuk jarum??? Kebetulan pada hari Jumaat sebelum aku pergi berbekam, aku ada terjumpa dengan seorang senior yang sama-sama buat PhD di UPM. Dalam kami berbual-bual, tiba-tiba aku kata badan tak selesa sebab tak pulih betul masa bersalin. Tiba-tiba, dia terus mencadangkan aku, pergi berbekam. Dia telah menghabiskan duit RM300 untuk bekam seluruh badan. Memang ringan dia rasa. Rasa macam dilahirkan semula. Kami yang mendengar tergelak-gelak. Betul ke??? Tapi sesuci bayi ke??? Tapi, tukang bekam dia menggunakan pisau kecil untuk menoreh kulit.... bunyi macam ngeri kan???

Selepas aku berbekam dengan suami, memang aku terasa badan bertenaga. Badan aku banyak lendir dan angin. Darah kotor agak kurang. Rambut aku telah dibotakkan sedikit, dan darah di kepala disedut. Sampai 3 kali, kak Sakinah (tukang bekam) tu pam kat kepala aku. Dia kata, kat kepala la punca angin aku. Tengkuk aku rasa ringan lepas tu.... Sesiapa yang nak berbekam sila lawati ....urutan dan bekam Bekam kat sini memang murah RM50 dapat 20 point.


Sunday, May 31, 2009

Adik Zam






Ini kali ketiga aku bertandang ke rumah Zam sempena adik dia kawin. Wah! Zam sungguh meriah dapat adik-adik ipar. Jumpa dengan Ella, yang sememangnya tak pernah miss juga setiap event adik zam kawin. Seronok jumpa Zam dan Ella. Umairah dah pandai jalan, zam pun dah bernak dua.

Ella: Muka baby2 cute je yang banyak interframe.




Tuesday, May 26, 2009

Aksi nakal Qaisarah


Qaisarah memang nakal. Dah pandai panjat-panjat. Akhirnya, atuk Qaisarah kepit badan Qaisarah tak bagi panjat-panjat. Cute betul gambar ni...

Monday, May 25, 2009

Cerita Labu Labi

Sabtu lepas, aku menghantar adik #7 belajar di matrikulasi. Tempat belajar dari rumah lebih kurang 25 min sahaja.Sebenarnya, adik aku ada terima dua tawaran. Satu tawaran di Kedah. Mak abah memang mengharap belajar di tempat sekitar lembah Klang dan kalau luar lembah Klang sekalipun, tidaklah sampai seharian waktu perjalanan untuk menghantar.

Dalam perjalanan menghantar adik ke tempat belajar...mak pun berkata, nasib ko dapat dekat je, kalau tak, penat mak nak hantar jauh-jauh. Itu baru Episod menghantar. Kebetulan sepupu aku yang sebaya adik #7 juga mendapat tawaran belajar yang sama. Jadi, kami bertemu dan kebetulan mak abah merangkap nenek aku ada bersama.

Episod pulang pun tiba. Tiba-tiba, van yang kami naiki rosak. Suami mencari 'spare part' van untuk diganti dan abah mencari mekanik untuk membaiki van yang rosak. Aku sekeluarga pulang ke rumah. Lebih kurang 2 jam, abah telefon meminta suami mengambil di kedai kereta yang lain sementara menunggu untuk dibaiki kali kedua. Abah dan emak singgah solat di rumah aku.

Bila abah ambil van semula, ada segenggam kunci tertinggal dalam kereta suami aku. Aku telefon abah, abah kata...la, macam cerita labu-labi, kejap ke sana, kejap ke sini... tpt yg sama. aku tergelak terbahak-bahak. Sampai qaisarah ikut gelak dengan aku.

Lepas maghrib, aku hantar kunci ke rumah mak. Suami yang kepenatan, akhirnya akur tidur di rumah mak.

Kalau difikir balik, itulah ujian. Mungkin kita mahu yang lebih mudah, tapi Allah duga dengan ujian yang lain. Pusing-pusing dekat sehari juga perjalanan....



Friday, May 22, 2009

Qaisarah



Umur Qaisarah dah 10 bulan lebih. Dah ada 6 gigi. Empat batang kat atas, dua batang kat bawah.
Dah pandai panjat tangga... isk bahaya.
Perkataan yang dia suke sebut... atet... ntah apa ntah atet tu...

Qaisarah belajar mengira dengan papa --------->

Ini pulak muka Qaisarah bila dah besar. 50%-50% muka mama dan papa. Baik punya gen bergabung...heheheeheh



Monday, May 4, 2009

Hari Pekerja

Cuti hari pekerja, balik kampung, makan sedap-sedap. Tapi makan dekat restoran bukan mak yang masak. Aku lately memang malas nak masak. Aku rasa mungkin sejak aku mengandung.



Tuesday, April 28, 2009

Memanjakan diri

Selepas urutan pertama, kakak urut mencadangkan pada aku supaya mengurut secara intensif selama 3 hari. Aku tanpa memikir panjang terus bersetuju. Jadi, sabtu sehingga isnin lepas aku telah di massage dan di sauna. Lega terasa badan. Selama tiga pagi sepanjang tiga hari. Walaupun harga aku mengurut mencecah RM750, tapi alhamdulillah... terasa lega sedikit. Siap bengkong dan sapu pilis seluruh badan. Memang berpantang tiga hari.



Tuesday, April 21, 2009

Mengurut

Sebenarnya aku berjanji dengan tukang urut hari jumaat lepas. Memang dah apply cuti. Tapi tiba-tiba berubah jadual, isnin pula. Kebetulan memang aku stand by cuti pada hari isnin. Sebab hendak jaga Qaisarah. Suami dah cuti 2 hari. Kesian mak. Rumah dilanda banjir.

Memang seronok badan dapat diurut. Tukang urut kata badan aku banyak angin, urat pun keras-keras. Yelah masa bersalin tak mengurut dengan ekslusif.

Kakak tukang urut, cadangkan aku urut selama 3 hari lagi. Aku fikir, walaupun sekali dia urut RM150 (kos di KL) bukan di Nilai, tapi tak pelah untuk kebaikan aku juga. Tapi bersyukur, sbb kakak tukang urut tu kata, tak berapa serius. Tapi memang kalau lepas bersalin tak urut satu badan akan sengal-sengal 5-6 bulan berikutnya. Tapi aku...???? dekat 10 bulan...

Yang lawak, kakak tukang urut, mengurut aku sambil terkejar2 dengan Qaisarah. Qaisarah main-main sebelah aku, sambil aku diurut-urut.


Thursday, April 16, 2009

Episod Banjir 2

Semalam, aku tiba di rumah mak, lebih kurang pukul 7 pm. Air sudah sampai betul2 depan pintu masuk ke rumah. Tapi belum lagi melepasi tembok batu melangkah masuk ke dalam rumah.

Badan Qaisarah hangat sedikit. Entah mungkin kepenatan tidak cukup tidur.

Selepas isyak, ramai yang sudah mengalihkan kereta ke perumahan baru di sebelah kampung.

15 April - 8.45 pm: Elektrik di kampung telah dipadamkan oleh TNB.

Alhamdulillah aku sudah sedia dengan membeli lilin petang tadi.

Tidur malam bagaikan tidak lena. Kepanasan terasa bahangnya. Badan Qaisarah panas. Entah macam2 bercampur agaknya. Nyamuk + Tiada kipas + Kepanasan


Pagi tadi, air semakin naik. Aku terpaksa meredah air. Air sudah masuk ke dalam rumah.

Masa bersarapan tadi bersama seorang rakan, aku berkata yang rumah mak aku banjir. Rumah kami dulu sebelum pindah kerap juga banjir. Lalu dia berkata... kalau banjir selalu, murah rezeki. Dalam hati aku, isk betul ke..??? ke musibah ??? Kali ini, kali pertama banjir masuk ke rumah. Desas-desus mengatakan yang ban pasir untuk menghalang air di Sungai Langat berhampiran telah dicuri orang dan dijual. Ish ish.. sikap manusia yang rakus dan tamak pada keuntungan.

Suami aku bercuti hari ini, berkorban untuk jaga Qaisarah.

Gambar Episod Banjir




Wednesday, April 15, 2009

Episod Banjir

Suami aku telefon dari pejabat yang dia dalam perjalanan balik ke rumah mak hendak tengok Qaisarah. Abah dengan secara tidak sengaja telah menelefon mengatakan air banjir semakin naik. Aku hanya berpesan supaya jangan lupa ambil aku di pejabat bila habis waktu bekerja.

Kronologi air banjir naik:

14 April - 7pm: Air dalam parit depan rumah mak abah sudah penuh.

15 April - 6am: Separuh tayar kereta yang diletakkan di laman rumah sudah ditenggelami air.



Monday, April 13, 2009

Selamat pengantin Baru Hamim

Semalam, kami sekeluarga ke Gombak, untuk majlis perkahwinan Hamim. Kami tidak biasa dengan jalan di sana. Jadi, kami mengan=mbil keputusan bertolak awal dan pulang awal. Alhamdulillah, dengan bantuan Anas, kami selamat ke destinasi tanpa sesat jalan. "Malu bertanya sesat jalan". Sampai di rumah Hamim, dalam pukul 1.05 ptg. Pukul 1.30 ptg, kami sekeluarga bertolak balik. Memang tak tunggu pengantin. Hujan dah mula turun. Jumpa dengan adik Hamim, Ana dan Ivin. Ivin ambik gambar kami bertiga. Bukti kat Hamim, kami datang kenduri. Alhamdulillah perjalanan semalam memang tidak sesat dan mudah.

Kisah menarik. Dalam perjalanan pulang, belum jauh dari rumah Hamim, tiba-tiba... suami memberhentikan kereta di tepi jalan. "Ada apa abang?". "kejap, abang nak turun beli satar. Abang nampak ada jual satar Terengganu". Rupanya, suami aku ni suka makan satar. Dalam hati, teringin sangat ke. Seingat aku, aku pernah makan satar sekali semasa ke Terengganu untuk program MIFT. Kami tiba di rumah, dalam pukul 2.15 ptg. Sepanjang jalan, hujan turun dengan lebatnya.

Selamat pengantin Baru Hamim dan Asilah. Semoga jodoh berpanjangan hingga akhir hayat.



Air-cond rosak

Air-cond bilik aku pulak yang rosak. Sebenarnya dah hampir seminggu. Cuma belum telefon orang untuk baiki.



Friday, April 10, 2009

Air-cond baru

Wah, tadi kami berbual. Makmal X, 2 hari complain air-cond raosak, dah dapat air-cond. Kita bertahun tak dapat lagi.

Tak sampai setengah jam. Ada orang datang makmal bawa sekotak air-cond yang belum dibuka untuk dipasang. Syukur, alhamdulillah. Baru je cakap pasal air-cond tadi. Doa termakbul di pagi jumaat penuh berkat.



Monday, April 6, 2009

Kilang Cokolat

Rancangan pertama, melawat kilang cokolat Cadbury. Pelajar Elektif Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah Undang-Undang yang saya ajar memang teruja nak melawat kilang makanan. Setakat saya menjadi pelajar Sarjana dan PhD, rasanya belum sampai lima buah kilang aku lawat. Kilang cokolat, belum lagi tersenarai dalam lawatan yang saya pernah pergi.

Setelah perbincangan, akhirnya, kilang cokolat Beryl's Chocolate Wonderland, Seri Kembangan, Selangor, Malaysia yang kami telah lawat. Sebenarnya, saya pernah ke kilang ini untuk membeli cokolat semasa promosi CNY awal tahun ini. Dapat juga saya tahu serba sedikit pasal cokolat.

Yang menarik, ada pelajar bagi sekotak cokolat.



Lain jadinya

Sebenarnya, aku memang malas nak pergi rewang-rewang kat belakang rumah mak sabtu lepas. Tiba-tiba, suami tel kata mak dia nak datang dari JB, nak tidur malam ni kat rumah, sebab esok ada kenduri kawin kat KL. Lega, tak payah pergi rewang. Ahad, jangan pulak mentua ajak ke KL. Mentua dan adik ipar sampai dekat pukul 1pg. Hari Ahad, nasib dia tak paksa kita orang gi KL. heehheee. Cuma dia tanya je, nak ikut ke tak.




Wednesday, April 1, 2009

Rewang-rewang

Semalam, mak kata... mintak tolong 'rewang2' kat rumah wak belakang rumah sabtu ini. Ahad, anak kedua dia nak kawin. Sebab mak nak ikut abah pergi buat MQA di KL. Jd antara rela dan paksa, aku terpaksa pergi juga.

Kadang2 aku seronok tengok abah aku yang sentiasa ditemani isteri, ke mana-mana dia pergi. Al-maklumlah isteri seorg surirumah. Kadang2 tak sampai pun 20km dari rumah pun.

Berbalik kepada wak belakang rumah... Masa aku kawin dulu, dia menyewakan khemah kepada aku. Dia memang buat bisnes sewa khemah2. Aku tak tahu lah nak rewang2 apa. Kupas bawang je kot, lepas tu balik... heeeeeheeee...